Bekas pekerja KIG Glass rayu Jabatan Insolvensi selesai segera pampasan
Salman Hussin
PASIR GUDANG, 2 Feb (Hrkh) - Kira-kira 200 bekas pekerja kilang KIG Glass Industrial Berhad, di sini, merayu Jabatan Insolvensi Malaysia, yang mengambil alih semua kepentingan dan aset kilang tersebut sejak diistyiharkan bankrap beberapa tahun lalu, menyelesaikan segera pampasan pekerja terbabit yang masih tidak selesai sehingga hari ini.
Bekas pekerja kilang yang kesemuanya rakyat tempatan ini menghadapi berbagai masalah berikutan penutupan kilang ini pada 2006 lalu, selain hilang punca pendapatan, mereka yang kebanyakannya sudah bekerja lebih 10 tahun ini terpaksa berhadapan dengan masalah hutang dan kesukaran mencari sumber pendapatan bagi menyara keluarga.
“Faktor umur menyebabkan kami sukar mendapat kerja lain, kalau pun dapat kerja di tempat baru, gajinya pula sudah tentu kecil, pendapatan yang kecil ini menimbulkan masalah untuk menyara keluarga, kata wakil pekerja terbabit, Razali Saad.
Katanya, sebelum kilang ini diisytihar bankrap pada 2006, syarikat ini sudah mula menghadapi masalah kewangan sejak 2003 lagi, pekerja hanya dibayar gaji dua hingga tiga bulan sekali, itu pun cuma RM100 bagi operator dan RM500 bagi eksekutif.
“Ketika saham terbesar syarikat ini dimiliki seorang usahawan dari Indonesia, masalah gaji pekerja langsung tidak pernah berlaku, begitu juga jualan produk kilang ini yang berupa barangan kaca, sama ada untuk pasaran tempatan atau eksport, terus berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya.
Sebaliknya menurut Razali, kegawatan keewangan syarikat termasuk hutang dianggarkan beratus juta ringgit dengan institusi-institusi kewangan dan juga pembayaran gaji pekerja mula berlaku sejak PNB, Amanah Raya dan ECM Libra, melabur dalam syarikat ini, katanya selepas membuat laporan polis, di sini.
Beliau bersama lebih seratus bekas pekerja kilang terbabit bertindak membuat laporan polis setelah kecewa tuntutan yang telah mereka kemukakan sejak 2005 kepada Jabatan Tenaga Kerja Johor Bahru, Menteri Sumber Manusia, MTUC serta keputusan Mahkamah Buruh, masih tiada sebarang tindakan atau keputusan muktamad, menyebabkan isu ini terus berlanjutan sehingga hari ini.
Bekas pekerja kilang terbabit antara lain menuntut pampasan Gaji Ganti Notis dan Faedah Penamatan Kerja, yang mana dianggarkan setiap pekerja berhak mendapat ganti rugi sekitar RM20,000 seorang.
Katanya, Walaupun sudah ada keputusan daripada Mahkamah Buruh Johor Bahru, terhadap tuntutan mereka, namun perintah mahkamah ini gagal dilaksanakan, arahan untuk membayar tuntutan mereka yang dikeluarkan mahkamah tersebut tidak diendahkan sama sekali.
“Selaku rakyat negara ini kami merasa amat kecewa apabila permasalahan membabitkan kebajikan kami seolah-olah dinafikan dari sudut perundangan sedia ada, ataupun mungkin perkara ini berlaku disebabkan pihak berkuasa yang diamanahkan rakyat untuk membela kebajikan dan keadilan negara tidak berperanan dengan sewajarnya.
“Kami juga hairan kenapa tindakan sewajarnya tidak dapat dilakukan kerajaan bagi menyelesaikan masalah membabitkan golongan pekerja melalui peruntukkan undang-undang yang ada, kegagalan ini boleh menimbulkan persepsi negatif atau keraguan rakyat terhadap kredibiliti kerajaan yang ada hari ini,” katanya.
Sehubungan itu menurut Razali, walaupun syarikat ini sudah bankrap dan segala urusan syarikat ini telah diambil alih oleh Jabatan Insolvensi, namun mereka amat mengharapkan campur tangan kerajaan bagi menyegerakan pembayaran wang pampasan tersebut.
“Kami harap kerajaan segera campur tangan bagi menyelesaikan kemelut ini, kami sudah begitu lama menderita, sampai bila kami harus menunggu dan menunggu,” ujarnya lagi. - mns

