Presiden MTUC calon PKR Parlimen Kelana Jaya?
Oleh Wartawan KLpos.com
FotoKL: Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud dijangka akan bertanding mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanraya akan datang. Sumber memberitahu KLpos.com bahawa orang kuat kesatuan pekerja itu akan bertanding di Parlimen Kelana Jaya, tempat di mana beliau juga merupakan Ketua Bahagian PKR.
Dalam pada itu, Pengarah Pilihanraya PKR Azmin Ali akan merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kelana Jaya bersama Syed Shahir esok. Syed Shahir pernah bertanding dalam pilihanraya umum 2004 tetapi tewas.
Dalam pada itu, Azmin yakin PKR mendapat lonjokan sokongan baru daripada akar umbi.
Menulis di blog peribadinya, kata Azmin, program ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampong Rinching Hulu, Semenyih baru-baru ini mendapat sambutan yang luar biasa dari masyarakat tempatan yang terdiri dari pelbagai kaum.
“Ribuan orang Melayu, India dan Tionghua berpusu pusu ke tapak ceramah untuk mendengar penjelasan dari pimpinan keADILan berhubung isu-isu semasa dan juga dasar kepeduliaan rakyat yang dibawa oleh PKR.” kata Azmin.
Menurut beliau, Anwar mengupas panjang isu ekonomi termasuk harga petrol dan barangan keperluan yang semakin tinggi, masalah pendidikan, jenayah dan sosial serta dasar PKR untuk meningkatkan dan menjamin hubungan di antara kaum dan agama dalam negara kita semakin mantap.
Bapa mentua YB hulu Langat serah tanah buat Markaz
“Tuan rumah, Cikgu Dolah menyerahkan tanahnya seluas 1 ekar untuk dijadikan markaz dan pusat khidmat masyarakat untuk Parlimen Hulu Langat. Beliau juga adalah bapa mertua kepada Ahli Parlimen ( UMNO ) Hulu Langat, YB Markiman Kobiran yang rumahnya terletak bersebelahan dengan tapak ceramah Dato’ Seri Anwar,” kata beliau.
Sementara itu, hari ini, Anwar akan melakukan lawatan kerja di Melaka dan akan berceramah di Markaz PAS Pantai Kundur. Anwar kerap turun padang untuk memperkemas jentera pilihanraya PKR sejak akhir-akhir ini.

